Tuesday, August 16, 2011

KEK CHOKLAT MOIST

Cakap pasal kek Choklat ramai yang suka, lebih-lebih lagi kalau kek tu lembab tidak kering dan peroi. Kalau ada toping krim choklat lagi best. Nak beli di kedai mahal pulak tu. So, JOM MASAK SENDIRI...........


KEK CHOKLAT MOIST

Sediakan periok kecil, masukkan 100gm koko serbuk, 1 cawan susu segar, dan 2 cawan gula pasir. kacau di atas api yang kecil sehingga sebati, JANGAN sampai mendidih. Biarkan ia sejuk...

Sediakan mangkuk pembancuh, masukkan 375gm butter Farm Cow dengan 1 cawan gula castor pukul sehingga kembang. kemudian masukkan 8 biji telur ayam satu persatu. Masukan 1 camca ovalet, 1 camca baking powder, 1 camca serbuk vanila dan 1 camca pewarna coklat/ chocolate paste pukul lagi hingga sebati.

Campurkan koko yang dimasak tadi dan pukul lagi hingga sebati, kemudian masukkan 2 1/2 cawan tepung gandum yang telah diayak terlebih dahulu sedikit demi sedikit pukul dengan kelajuan rendah.

Hidupkan oven api bawah, di tingkat paling bawah letakkan loyang berisi air (supaya kek tidak kering) dan biarkan oven dalam keadaan panas. Sapukan bekas pembakar dengan margerin dan taburkan sedikit tepong (Boleh juga kalau nak guna kertas minyak) tuangkan adunan tadi dan bakarlah lebihkurang 90 minit dengan api 180 darjah C.

Untuk mengetahui kek tadi dah masak atau belum, guna lidi cocok di bahagian tengah, kalau tak melekat di lidi itu tandanya kek dah masak.

Krim Choklat:

Sediakan periok kecil, masukkan 1/2 cawan serbuk koko, 1 cawan susu pekat, 2 cawan susu segar, 1/2 cawan gula pasir kacau di atas api kecil. Campurkan 3 camca tepung jagung dengan 1/2 cawan air kacau rata kemudian masukan ke dalam krim choklat tadi kacau hingga menjadi pekat.

Panas-panas sapukan krim choklat pada kek tadi, taburkan choklat rice. Biarkan sejuk dah boleh hidang.....

SELAMAT MENCUBA........

Tuesday, June 7, 2011

ROTI OH ROTI

Saya percaya ramai yang ingin membuat sendiri roti lembut seperti kapas tapi susah sangat nak jadi. Roti di kedai memang banyak tapi kalau boleh buat sendiri kan lebih baik. Terdapat pelbagai jenis roti di pasaran mengikut kreativiti pembuat roti masing-masing. Tapi yang peliknya roti yang saya buat sendiri ni menjadi kegemaran ramai. Roti Lemak Manis saya mudah dibuat, sesiapa pun boleh mencubanya. Anda pasti merasa bangga kerana berjaya membuat sendiri roti lembut yang sedap dan harum... JOM BUAT ROTI SENDIRI.....

ROTI LEMAK MANIS


Ambil mangkuk mesin pengadun roti, masukkan 1 camca besar serbuk ibu roti (mauripan), air sejuk satu gelas (300ml), susu pekat satu tin, 2 camca gula pasir, secubit garam, 2 biji telur, 2 camca penuh margerin Planta, 1 camca penuh bread improver, 2 camca bread softener, 1 camca serbuk vanila - kacau rata.

Gunakan mesin pengadun putar pada kelajuan 2, masukkan 1 kilo tepung gandum serbaguna (MFM) sedikit sedikit dalam adunan tadi hingga habis, putar mesin selama 30 minit.

Tutup mangkuk pengadun biarkan adunan naik, kemudian sapu margerin di tapak tangan tekan adunan untuk buang angin dengan melipat sambil menekan adunan, biarkan ia naik, ulang sekali lagi proses buang angin.

Sediakan loyang yang telah disapu dengan margerin, sapu margerin di kedua belah tapak tangan, kemudian mula membentuk roti bulat dan susun dalam loyang pembakar ( gunakan margerin setiap kali membentuk roti. Setelah selesai biarkan roti naik 2 kali ganda dan bakar selama 45 minit dengan kepanasan 180 darjah C. Setelah masak sapukan margerin dan tabur sedikit gula halus.

Dah siap... selamat mencuba...

Wednesday, March 30, 2011

MENU NASI BERYANI

     Di Negeri Johor, bila sebut Nasi Beryani menu wajib adalah Nasi Beryani, lauknya mesti Ayam/daging lembu/daging kambing masak beryani, kemudian Paceri Nenas/Acar Rempah/Acar Darat/Acar Buah untuk kurangkan rasa muak dan kuahnya Dalca terung. Kalau nak tambah lauk lagi boleh kita tambah lauk ayam/daging masak Merah/Masak Tomato.
Di tempat lain terutama di Kuala Lumpur saya dapati mereka makan Nasi Beryani dengan lauk ayam/daging masak rendang/ masak kicap/masak hitam ini telah lari dari menu asal Nasi Beryani. Perlu diingat menu adalah penting dalam sesuatu hidangan untuk mencapai kombinasi lauk yang sesuai.

Jom kita masak Nasi Beryani Kacau

Beli 1 kilo Beras Moghul dan sukat beras tadi dengan menggunakan mangkuk kemudian basuh dan toskan.
Tumbuk 5 biji bawang merah, 5 biji bawang putih, 1 inci halia. Hiris 1 biji bawang besar.
Guna periok tebal dengan penutupnya rapat supaya wap tak boleh keluar, panaskan 1tin kecil minyak sapi Ghee + 1 senduk minyak sapi biasa kemudian tumiskan bawang besar bersama rempah tumis, bila dah naik bau masukan bawang yang telah ditumbuk tadi, kacau hingga naik bau kemudian masukan air mengikut sukatan beras kacau hingga mendidih.
Masukan 3 sudu tomato puree, 1/2 cawan susu cair Ideal, 4 kiub ayam, Garam secukup rasa, 3 sudu gula batu, kacau rata kemudian masukan beras kacau perlahan hingga kering.
Kecilkan api, buat 7 lubang sebesar ibu jari pada nasi, tuangkan 1/4 cawan air mawar yang telah diwarnakan dengan serbuk warna kuning dan sedikit serbuk warna merah pada setiap lubang.
Taburkan gajus dan kismis yang telah digoreng terlebih dahulu, tuang rata 1/2 cawan tairu (susu cair dengan sebiji perahan limau nipis) dan taburkan bawang goreng.
Ambil 3 senduk minyak bersama sedikit rempah daripada lauk Beryani yang telah dimasak terlebih dahulu, tuang pada 7 lubang tadi.
Ambil daun Ketumbar, daun bawang, daun sop dan daun pudina potong 2 inci taburkan rata atas nasi tadi dan akhir sekali tutup periuk dengan daun pisang tutup rapat dengan penutup periuk dan tindihkan dengan pemberat supaya wap tak keluar. biarkan hingga nasi hingga masak....Selamat Mencuba.....

Petua: Kalau nak lagi sedap gunakan air rebusan daging untuk masak nasi, Gula batu digunakan supaya nasi tak patah. Boleh guna koma-koma (saffron) sebagai pewarna. Ada pelbagai cara masak Nasi Beryani tapi cara kacau rasanya akan lebih sekata, dapat kurangkan kerak dan rasa lebih sedap....

Friday, March 11, 2011

SUAMI JANGAN LEPAS TANGAN

Sebenarnya tugas memasak dan menyediakan makanan untuk keluarga ini adalah tugas seorang suami, bukan tanggungjawab isteri. Cuma kalau nak jadi isteri yang soleha, si isteri perlulah membantu  meringankan beban suami. Tapi telah menjadi adat kita orang Melayu tugas di dapur ini diserahkan kepada si isteri. Jadi secara tidak langsung isteri-isteri di kalangan orang Melayu sejak dulu telah dilatih menjadi isteri soleha. Walau bagaimanapun, suami juga perlu tahu serba sedikit tentang kerja di dapur. Jangan lepas tangan, sebaiknya masaklah sama-sama kerana ini akan mengeratkan hubungan suami-isteri.



Beryani Ayam perlu dimakan bersama Nasi Beryani dan Paceri Nenas. Biasanya hidangan ini adalah untuk Majlis Perkahwinan terutama di Negeri Johor. Tapi sekarang ini terdapat banyak kedai Nasi Beryani, yang paling top dan ori adalah Beryani Batu Pahat.

JOM MASAK BERYANI AYAM
BATU PAHAT

Mula-mula ambil seekor ayam segar (2kg) potong 12 dan bersihkan, gaulkan dengan kunyit dan garam dan kemudian goreng (jangan terlalu garing)
Rebus 5 biji kentang dan kemudian buang kulit,belah dua dan goreng hingga kuning.
Ambil 3 batang karot bersihkan potong 2" panjang dan belah 4 kemudian goreng.
1 paket kismis dan gajus digoreng.
Sediakan mangkuk untuk bancuhan rempah. Beli rempah beryani dari Batu Pahat, Johor (Kedai Ismail Yahya). Masukkan 1 senduk rempah dengan sedikit air kacau rata. kemudian masukan 1 senduk bawang putih, 2 senduk bawang merah, 1 senduk halia (yang telah dikisar) dan 1 tin kecil tomato puree, 1/2 botol tomato sos, 10 biji lada hijau yang telah dikisar, 2 senduk madu,1/2 botol kicap manis, 1/2 tin susu cair (ideal) kacau semua hingga rata dan biarkan selama 30 minit.
Guna periok, panaskan 2 senduk minyak dengan 1 tin kecil minyak sapi GHEE. Tumiskan 1 biji bawang besar yang telah dihiris bersama 1 paket rempah tumis(kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga) hingga naik bau. Masukan rempah yang telah diperap masak hingga naik minyak, tambahkan garam secukup rasa, serbuk perasa/stok ayam. Masukan ayam gaul rata, masukan 2 biji buah tomato belah dua, karot dan kentang.
Taburkan kismis, gajus, bawang goreng, daun sop, daun bawang, daun pudina dan daun ketumbar (dipotong 2"), tutup periok rapat-rapat (tindih dengan lesong batu) dan matikan api.
Dah siap, boleh hidang... selamat mencuba..

Petua, lebih sedap kalau lauk ini kita masak malam, esok pagi kita panaskan semula baru dihidangkan. Ini bertujuan supaya rempah dan ayam akan meresap.

Thursday, March 10, 2011

KENAPA KITA PERLU MASAK?

         Sekarang ini ramai orang yang dah malas nak masak, dengan alasan tak pandai masak, masak tak sedap, tak ada masa penat lepas balik kerja, makan untuk dua orang sahaja buat apa nak masak dan sebagainya. Tapi adakah anda tahu bahwa masak sendiri itu akan dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara suami dan isteri serta keluarga bahkan sahabat handai?. Maka itulah kita perlu ujudkan semula budaya memasak bukan sahaja dikalangan isteri bahkan suami juga perlu tahu memasak. Orang dulu-dulu memikat hati suami hanya dengan masakannya yang sedap, sehinggakan suami akan sentiasa teringat masakan isterinya dan bergegas balik untuk makan tengahari. Begitu juga dengan anak-anak, walau kemana mereka pergi jauh sekalipun, mereka akan tetap teringat masakan ibunya. Apa akan terjadi jika para ibu sekarang dah malas nak masak, suka beli aja di kedai? Sebenarnya inilah punca keretakkan rumah tangga. Si suami dah tak ada alasan nak mengenang kelebihan dan kebaikan isterinya. Isteri yang terlalu sibuk mengejar kerjaya tanpa menghiraukan keluarga akan menyebabkan sang suami cari lain. Sebenarnya, masakan isteri yang penuh ikhlas akan menambat hati suami, suami tak akan cari lain kalau masakan isterinya sedap. Suami akan rasa dihargai jika si isteri bersusah payah memasak untuknya.

  

Pacri Nenas biasa sebagai lauk tambahan bila makan nasi minyak atau Beryani. Tujuannya adalah untuk mengurangkan rasa muak sebab rasanya masam manis.

JOM MASAK PACRI NENAS

Ambil nenas sebiji kupas kulit dan buang matanya, kemudian belah empat buang empuluhnya dan potong kecil-kecil. Lepas itu rebus nenas tersebut dengan sedikit garam dan 2 sudu kunyit serbuk (Kalau tak cukup kuning boleh tambah pewarna kuning) lepas tu toskan. Ambil kuali (jangan guna kuali tembaga atau besi) tumiskan 1/2 biji bawang besar, 3 biji bawang putih, 3 biji bawang merah, 1 inci halia (semuanya dihiris dulu), rempah tumis (kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga) dengan minyak masak. Tumis sampai naik bau, kemudian masukan lada hijau dan merah yang telah dihiris berserta biji sawi. Lepas itu masukan sedikit garam, 3 camca gula pasir, 2 camca cuka dan sedikit serbuk perasa. Kacau rata masukan nenas tadi dan masak dalam 5 minit. Dah siap boleh hidang.....OK selamat mencuba....