Wednesday, March 30, 2011

MENU NASI BERYANI

     Di Negeri Johor, bila sebut Nasi Beryani menu wajib adalah Nasi Beryani, lauknya mesti Ayam/daging lembu/daging kambing masak beryani, kemudian Paceri Nenas/Acar Rempah/Acar Darat/Acar Buah untuk kurangkan rasa muak dan kuahnya Dalca terung. Kalau nak tambah lauk lagi boleh kita tambah lauk ayam/daging masak Merah/Masak Tomato.
Di tempat lain terutama di Kuala Lumpur saya dapati mereka makan Nasi Beryani dengan lauk ayam/daging masak rendang/ masak kicap/masak hitam ini telah lari dari menu asal Nasi Beryani. Perlu diingat menu adalah penting dalam sesuatu hidangan untuk mencapai kombinasi lauk yang sesuai.

Jom kita masak Nasi Beryani Kacau

Beli 1 kilo Beras Moghul dan sukat beras tadi dengan menggunakan mangkuk kemudian basuh dan toskan.
Tumbuk 5 biji bawang merah, 5 biji bawang putih, 1 inci halia. Hiris 1 biji bawang besar.
Guna periok tebal dengan penutupnya rapat supaya wap tak boleh keluar, panaskan 1tin kecil minyak sapi Ghee + 1 senduk minyak sapi biasa kemudian tumiskan bawang besar bersama rempah tumis, bila dah naik bau masukan bawang yang telah ditumbuk tadi, kacau hingga naik bau kemudian masukan air mengikut sukatan beras kacau hingga mendidih.
Masukan 3 sudu tomato puree, 1/2 cawan susu cair Ideal, 4 kiub ayam, Garam secukup rasa, 3 sudu gula batu, kacau rata kemudian masukan beras kacau perlahan hingga kering.
Kecilkan api, buat 7 lubang sebesar ibu jari pada nasi, tuangkan 1/4 cawan air mawar yang telah diwarnakan dengan serbuk warna kuning dan sedikit serbuk warna merah pada setiap lubang.
Taburkan gajus dan kismis yang telah digoreng terlebih dahulu, tuang rata 1/2 cawan tairu (susu cair dengan sebiji perahan limau nipis) dan taburkan bawang goreng.
Ambil 3 senduk minyak bersama sedikit rempah daripada lauk Beryani yang telah dimasak terlebih dahulu, tuang pada 7 lubang tadi.
Ambil daun Ketumbar, daun bawang, daun sop dan daun pudina potong 2 inci taburkan rata atas nasi tadi dan akhir sekali tutup periuk dengan daun pisang tutup rapat dengan penutup periuk dan tindihkan dengan pemberat supaya wap tak keluar. biarkan hingga nasi hingga masak....Selamat Mencuba.....

Petua: Kalau nak lagi sedap gunakan air rebusan daging untuk masak nasi, Gula batu digunakan supaya nasi tak patah. Boleh guna koma-koma (saffron) sebagai pewarna. Ada pelbagai cara masak Nasi Beryani tapi cara kacau rasanya akan lebih sekata, dapat kurangkan kerak dan rasa lebih sedap....

No comments:

Post a Comment